Tuesday, 9 May 2017

6. BUKIT BROGA 2010

Mendaki Bukit Broga Bersama Nana dan Atiqi 2010

Seperti biasa pada hari Sabtu selepas solat subuh di surau An-Nur saya menatap laptop di ruang tamu sementara menunggu untuk berjoging. Tiba-tiba anak kecil saya Atiqi, berumur tiga tahun lebih tahun muncul dari bilik tidurnya.

'Eh, Atiqi dah bangun, Atiqi selalunya kan bangun lambat, nak ke mana ni'. Tanya saya. Atiqi tersenyum-senyum tidak menjawab dengan matanya masih belum dapat dibuka luas. 

'Jom kita naik Bukit Broga.' Saya mengajaknya sambil menduga Atiqi. 'Ma, abah ajak naik Bukit Broga, ajaklah kak Nana dan abang An sama'. Jerit Atiqi.  Atiqi kelihatan sedih seketika kerana mamanya, kak Nana dan abang An tidak dapat menemaninya disebabkan masing-masing mempunyai alasan tersendiri. 

Tiba-tiba Nana ubah fikirannya kerana kasihan pada Atiqi. Akhirnya saya, Atiqi dan kak Nana berangkat dari rumah pada jam 8.35 pagi dengan menaiki Proton Inspira menuju ke Bukit Broga yang terletak kira-kira 8 kilometer dari rumah saya iaitu Taman Pelangi Semenyih.

Kami tiba di kaki Bukit Broga pada pukul 8.50 pagi dan lima minit kemudian kami mula mendaki.




Bestnya 100 Plus


Bukit Broga mempunyai empat puncak. Puncak keempat adalah setinggi 400 meter dan merupakan puncak tertinggi. Di belakang Bukit Broga terdapat pula Gunung Tok Wan setinggi 675 meter. Kebanyakan pendaki akan berhenti pada puncak pertama tetapi bagi mereka yang sudah biasa mereka akan terus ke puncak keempat. Jarak puncak keempat dari bawah ialah 1.7 km. Mereka yang mendaki Gunung Tok Wan agak kurang memandangkan jaraknya yang jauh iaitu 4.9 km. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak keempat Bukit Broga ialah kira-kira 45 minit dan 2 jam 30 minit untuk ke Gunung Tok Wan.

Sesampainya kami di puncak pertama setelah mengambil masa 30 minit, kelihatan kak Nana sudah penat tetapi Atiqi masih steady. 'Abah, nak naik lagi ke'. Tanya kak Nana yang keletihan. 'Baru puncak satu Nana, kita teruslah ke puncak keempat, dah tak jauh. Cuba tengok Atiqi, masih kuat lagi'. Jawab saya kepada kak Nana sambil memberi semangat kapadanya. Atiqi yang masih segar terus melangkah kakinya menuju ke puncak kedua dan kami terus mengekori setelah berehat 10 minit.

Kira-kira 10 minit kami sampai di puncak kedua. Cuaca agak mendung dan kelihatan seperti hujan akan turun. Atiqi meminta 100 plus dan ia berkongsi minum dengan kak Nana. Kak Nana terus duduk di celah batu untuk berehat bagi mengembalikan semula tenaganya. Termasuk hari ini sudah lapan kali kak Nana mendaki Bukit Broga dan lima kali bagi Atiqi. Kak Nana mula mendaki bukit dan gunung ketika berumur 11 tahun dan 2 tahun bagi Atiqi. 'Abah, jomlah naik lagi, jomlah bah, jomlah bah'. Teriak Atiqi dengan suara yang kuat sehingga memecah kesunyian di puncak kedua Bukit Broga. Beberapa pendaki yang sedang berehat dan mengambil foto tersenyum melihat gelagat Atiqi walaupun masih kecil tetapi begitu bersemangat untuk meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Setelah berbincang dengan kak Nana, saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pejalanan memandangkan cuaca semakin gelap dan kak Nana pula agak kepenatan. 'Jangan turun, jangan turun, tak nak turun, tak nak turun, Atiqi nak naik lagi, jomlah Abah kita naik'. Sekali lagi Atiqi menjerit sambil menangis kerana kecewa dengan keputusan saya. 'Dah nak hujan Atiqi, minggu depan kita naik lagi' Pujuk kak Nana pada Atiqi tetapi Atiqi tetap mendesak untuk naik sambil menjerit dan berlari-lari tanpa arah. Kami memerhatikan gelagatnya dan Atiqi akhirnya bersetuju juga untuk turun setelah dijanjikan untuk datang semula minggu depan.

Kira-kira pukul 10.30 pagi kami mula turun dari puncak kedua dan sampai di tempat parking pada jam 11.00 pagi. Kami tiba di rumah pada pukul 11.20 pagi.

Atiqi termasuk juga anak-anak kecil yang lain walaupun kecil tetapi semangatnya besar. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.


No comments:

Post a Comment